***

24 Ogos 2011

Harga emas terus tinggi

Oleh Mahanum Abdul Aziz

2011/08/23

Melonjak ke paras RM180 segram

HARGA emas terus melonjak ke paras tertingginya dalam sejarah iaitu pada AS$1,888.90 seaun
atau kira-kira RM180 segram semalam berikutan kebimbangan berterusan kemungkinan ekonomi
Amerika Syarikat (AS) mencatatkan kemelesetan


berganda, di samping krisis hutang di Eropah yang semakin meruncing.
Keadaan pasaran yang tidak menentu ketika ini menggalakkan pelabur memilih untuk
melabur dalam logam berharga itu kerana ia antara pelaburan lindung nilai yang
terbaik ketika krisis ekonomi. Ketua Penyelidik Affin Investment Bank,
Dr Nazri Khan, berkata pihaknya menjangkakan harga emas bakal mencecah paras AS$1,900 seaun
dalam tempoh terdekat berikutan kelemahan dolar AS secara berterusan dan kebimbangan
terhadap kemelesetan ekonomi sekali lagi di AS.

Beliau berkata, pihaknya juga melihat harga emas mempunyai potensi untuk mencecah
paras AS$2,000 seaun menjelang akhir tahun ini berikutan permintaan tinggi
terhadap logam berharga itu kerana pelabur lebih gemar melabur dalam emas ketika
ketidaktentuan pasaran dunia.


“Penurunan penarafan hutang AS menggalakkan pemegang bon AS menjual pegangan masing-masing
dan membeli emas. Kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi baru di AS
serta kelemahan dolar juga mendorong harga emas untuk melonjak ke paras tertinggi,”
katanya kepada Berita Harian semalam.

Kebanyakan penganalisis pasaran sebelum ini menjangkakan permintaan bagi emas
akan terus meningkat pada masa depan terutama dari China dan India didorong peningkatan
pendapatan boleh guna di kedua-dua negara itu.
Mereka melihat keadaan tidak menentu di AS dan Eropah yang berlarutan juga menggalakkan
bank pusat seluruh dunia meningkatkan rizab emas masing-masing.

“Prospek ekonomi AS yang malap berserta data ekonomi yang lemah ditambah krisis hutang
Eropah yang semakin meruncing telah mendorong harga emas terus melonjak lebih daripada
sukuan sejak Julai lalu,” jelas seorang penganalisis pasaran.

“Kami tidak melihat sebarang faktor positif yang dapat menyokong ekonomi AS dalam tempoh
beberapa bulan ini,” tambahnya.

Akhir tahun lalu, harga emas ditutup pada AS$1,421.40 seauns, naik kira-kira 31 peratus
berbanding 2009 didorong permintaan berterusan dari China dan jangkaan spekulator bahawa
mereka akan meraih untung lebih daripadanya.

Bank Negara statistik (Kijang Emas) http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=12&pg=141\

Kuwait Finance House (Gold Price) http://www.kfh.com.my/kfhmb/

Tapi Jangan lupa, bila emas dah banyak tu kena la bayar ZAKAT rujuk sini =>
http://www.zakatpahang.my/ArkibNisab.aspx

12 Januari 2011

Kerja apa saja asal halal...

100,000 jawatan belum terisi
2011/01/12
SEREMBAN: Sebanyak 100,000 peluang pekerjaan di pelbagai bidang dalam sektor kerajaan dan swasta di seluruh negara yang ditawarkan melalui portal http://www.jobsmalaysia.gov.my/ belum terisi sehingga kini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata kekosongan itu disebabkan graduan atau pencari kerja terlalu memilih dan berpendapat pekerjaan ditawarkan itu tidak menepati minat mereka. “Terdapat 39,000 majikan mengiklankan 100,000 kekosongan jawatan di tempat masing-masing di seluruh negara tetapi sambutan diterima daripada pencari kerja kurang menggalakkan. “Kebanyakan mereka menunggu iklan peluang pekerjaan lebih baik atau sesuai dengan bidang pendidikan yang diikuti sebelumnya, manakala yang lain pula mungkin belum berminat kerana mahu menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Kolej East West (EWC) dan organisasi penganugerahan sijil vokasional terkenal United Kingdom, City&Guilds.
Melalui perjanjian itu, pemegang Sijil Kemahiran Mara hanya perlu menduduki peperiksaan khas City&Guilds bagi membolehkan mereka diiktiraf pada peringkat antarabangsa dan mencari pekerjaan di luar negara.
Maznah berkata, statistik pengangguran di negara ini menurun daripada 3.5 peratus pada suku tahun pertama tahun lalu kepada 3.1 peratus penghujung Disember lalu. 
** sumber Berita Harian 12 Jan 2011

21 Disember 2010

Mentarbiah pengikut Syiah


MUZAKARAH Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
 Bagi Hal Ehwal Islam yang bersidang pada 3 Mei 1996 membuat penetapan umat Islam di Malaysia hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam, oleh yang demikian penyebaran ajaran lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dilarang.
Berdasarkan keputusan muzakarah itu, pastinya penyebaran ajaran Syiah di negara ini sudah disedari dan Buku Penjelasan Terhadap Fahaman Syiah terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2001 yang mengulas secara terperinci mengenai ciri dan penyelewengan ajaran Syiah juga membuktikan wujudnya penyebaran ajaran itu.

Serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap kumpulan ajaran Syiah di markas kumpulan itu dalam satu operasi di sebuah rumah kedai dua tingkat di Taman Sri Gombak, Selangor, Rabu lalu, memperkukuhkan kehadiran mereka dalam kalangan masyarakat.

Dalam serbuan itu, seramai 128 orang ditahan, dengan ada antara mereka yang didapati terlalu taksub sehingga mengukir kalimah Allah di lengan, sedangkan tindakan berkenaan menyimpang daripada ajaran Islam yang melarang sebarang bentuk ukiran berupa tatu. baca seterusnya

10 November 2010

Emas Sedang Naik

Harga pada 12.12.10
1/2 Dinar :: RM 329
1 Dinar :: RM 658
2 Dinar :: RM 1 316
5 Dinar :: RM 3 290
8 Dinar :: RM 5 264

1 Dirham :: RM 20
2 Dirham :: RM 40
5 Dirham :: RM 100
10 Dirham :: RM 200
20 Dirham :: RM 400

Harga emas Public Gold
1 dinar RM 653.00
5 dinar RM 3249.00
10 dinar RM 6470.00

Jongkong Public Gold
20 gram RM 3159.00
50 gram RM 7861.00
100 gram RM 15649.00
1 kilogram  RM 156489.00  


Harga pada 09.11.10
1/2 Dinar = RM 326, 1 Dinar = RM 652,
2 Dinar = RM 1 304, 5 Dinar = RM 3 260, 8 Dinar = RM 5 216

1 Dirham = RM 18, 2 Dirham = RM 36, 5 Dirham = RM 90, 10 Dirham = RM 180, 20 Dirham = RM 360

Harga pada Ogos 2010
1/2 Dinar = RM 296, 1 Dinar = RM 592,
2 Dinar = RM 1 184, 5 Dinar = RM 2 960, 8 Dinar = RM 4 736

1 Dirham = RM 13, 2 Dirham = RM 26, 5 Dirham = RM 65, 10 Dirham = RM 130, 20 Dirham = RM 260


Sebagai perbandingan harga 20gm emas pada bulan lima 2009 ialah rm 2,248.00 manakala harga jualan pada 09.11.2010 ialah rm 3,001.00 ini bermakna terdapat kenaikan sebanyak rm 753 [untung]...

27 Oktober 2010

Malaysia di tangga 56 indeks rasuah


Malaysia masih kekal di tangga ke-56 daripada 178 negara pada Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan oleh Transparency International (TI) tetapi mata yang dikutipnya terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4.

Markah itu membuktikan bahawa negara telah gagal mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran mereka daripada 4.5 kepada 4.9 daripada markah maksimum -10 mata.

Tempat teratas dikongsi oleh tiga negara - Singapura, New Zealand dan Denmark daripada 178 negara yang dikaji.

Menurut TI Malaysia, meskipun laporan yang dikeluarkan petang tadi, menunjukkan negara menuju ke arah yang betul, namun masalah timbul ketika pelaksanaannya.

Malaysia menduduki tempat ketiga di kalangan negara Asia Tenggara selepas Singapura dan Brunei, di depan Thailand yang mendapat 3.5 mata dan Indonesia dengan 2.8 mata.

Presidennya, Paul Low berkata kejatuhan dalam markah itu “secara statistik tidak signifikan”.

Beliau berkata kegagalan menangani rasuah akan mengagalkan usaha kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai negara berpendapatan tinggi memandangkan pertalian terus antara rasuah dan pendapatan per kapita.

Di samping itu, katanya lagi, usaha yang dibuat oleh kerajaan melalui GTP belum lagi menghasilkan sebbarang kejayaan kerana faedah daripada usaha yang dilakkukan akan mengambil masa sebelum kesannya dapat dirasai oleh rakyat di negara ini.

Menurut setiausaha agung TI Malaysia, Ngooi Chu-Ing, antara yang paling ketara adalah persepsi umum bahawa kerajaan kurang azam politik untuk menangani rasuah.

"Kita boleh lihat sebagai contoh, terdapat kebimbangan di kalangan umu bahawa tiada "ikan besar" yang didakwa dan juga kemajuan yang lembab dalam mengenalpasti serta mendakwa individu yang terbabit dalam skandal PKFZ (Port Klang Free Trade Zone).

"Begitu juga dengan keputusan "tiada sebarang tindakan"" (NFA) oleh peguam negara terhadap individu-individu yang didakwa mempengaruhi pelantikan hakim dalam badan kehakiman dan amalan berterusan memberikan kontrak projek-projek Mega secara tidak telus," katanya.

TI-Malaysia, katanya mengesyorkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa mendakwa disamping membolehkan badan itu melaporkan secara terus kepada ahli jawatankuasa parlimen.

"Pada masa kini, menteri kabinet mengistiharkan harta mereka kepada Perdana Menteri namun butir-butir pengisytiharan harta mereka tidak pernah diumumkan kepada awam...kami juga menggesa ditegakkan kebebasan maklumat melalui pemansuhan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Penerbitan dan Percetakan," katanya.

dipetik dari Malaysiakini

26 Oktober 2010

Harga tiket naik

KUALA LUMPUR - Sesuai dengan prestijnya sebagai pentas akhir, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan menaikkan harga tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Kelantan dan Negeri Sembilan Sabtu ini, kepada RM30.
Harga tersebut adalah bagi tempat duduk biasa, manakala RM50 ditetapkan bagi tempat duduk grand stand.
Harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu adalah RM20.
Naib Presiden FAM, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pertandingan Tempatan, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, keputusan menaikkan harga RM10 bagi tiket perlawanan akhir itu telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pintu dan Tiket.
''Sesuai dengan prestij Piala Malaysia yang merupakan piala keagungan negara, maka Jawatankuasa Pintu dan Tiket berpendapat amat wajar harga tiket perlawanan akhir dijual pada harga RM30.
''Bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, harga tiket yang ditawarkan serendah RM5 sementara tempat duduk grand stand adalah RM50, '' katanya dalam sidang media perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 di Stadium Bukit Jalil, semalam.
Hadir sama pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim dan penolong pengurus Negeri Sembilan, Faizal Zainal.
Bagi meningkatkan langkah keselamatan, Hamidin menegaskan, pada perlawanan Sabtu ini, setiap penonton, termasuk wanita akan menjalani pemeriksaan badan, sebagai langkah membendung percubaan membawa masuk mercun dan objek terlarang ke dalam stadium.
''Pasukan keselamatan akan melakukan kawalan rapi di luar dan dalam stadium. Kali ini juga anggota keselamatan akan memeriksa badan penonton wanita, kerana ada maklumat mercun pernah dibawa masuk ke stadium melalui penonton wanita .
''Atas faktor keselamatan, makanan dan minuman juga akan tidak lagi dibenarkan dijual di dalam stadium, '' katanya.
Menyentuh pembahagian jualan tiket, sebanyak 30,000 tiket akan diberikan kepada Kelantan dan Negeri Sembilan, yang boleh didapati dalam tempoh terdekat.
''Tiket-tiket akan dijual tidak lama lagi sehingga Jumaat, yang akan diagihkan oleh persatuan bola sepak negeri masing-masing.
''Jika terdapat lebihan sehingga hari Jumaat ini, Jawatankuasa Pengelola akan menjual tiket itu di Stadium Nasional Bukit Jalil seawal 9 pagi Sabtu ini. Saya anggarkan sebanyak 70,000 ke 80,000 tiket akan dijual.
''Para penonton boleh masuk ke stadium mulai pukul 4 petang. Penyokong Kelantan akan duduk di bahagian tuan rumah sementara Negeri Sembilan di bahagian penyokong pelawat, '' katanya.
Hamidin turut berasa puas hati dengan kualiti padang perlawanan akhir itu yang disifatkannya 92 peratus boleh digunakan.

Hukuman Sathia ditangguh

KUALA LUMPUR 25 Okt. 2010- Kontroversi penggantungan jurulatih Kelantan, B. Sathianathan, reda seketika apabila Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 'berlembut hati' menangguhkan hukuman enam bulan yang dikenakan terhadap beliau, semalam.

Keputusan itu bermakna Sathianathan, yang sebelum ini terpaksa memberi arahan dari tempat duduk penonton melalui walkie-talkie pada perlawanan separuh akhir berdepan Kedah, boleh berada di bangku simpanan pemain pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh FAM semalam, penangguhan hukuman itu berdasarkan perkara 7.1.1 dan 7.5.1 dan diputuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Rayuan FAM, A.Ganarajah, selepas Sathianathan mengemukakan rayuan semalam.

Sabtu lalu, Lembaga Disiplin FAM membuat keputusan mengejut, apabila menggantung Sathianathan dan jurulatih T-Team, Che Ku Marzuki selama enam bulan dan denda sebanyak RM2,000, berkuatkuasa serta-merta.

Sathianathan dikenakan hukuman berkenaan selepas didapati bersalah memberi kenyataan kepada media, berhubung stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu ketika Liga Super, musim lepas.

Sebelum itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menjelaskan, penggantungan Sathianathan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Sambil menjelaskan situasi sebenar, Azzuddin berkata Lembaga Disiplin FAM sudah meneliti kes tersebut sejak Julai lepas.

''Hukuman yang dikenakan terhadap Sathianathan dan Che Ku Marzuki, dijatuhkan pada 21 Oktober selepas Jawatankuasa Lembaga Disiplin yang dipengerusikan Datuk Taufik Tan Sri Razak bersidang kali pertama.

''Sebenarnya kes ini sudah lama dalam perhatian Lembaga Disiplin, namun ekoran pemilihan Kongres FAM pada 31 Julai lalu dan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif kali pertama berlangsung pada 24 Ogos, maka tiada sebarang keputusan diputuskan, kerana Lembaga Disiplin yang baru masih belum terbentuk.

''Pelantikan dan pengesahan pengerusi serta ahli dalam setiap jawatankuasa hanya selesai pada 4 Oktober baru-baru ini, maka selepas itu, barulah Lembaga Disiplin dapat bersidang dan mendapati Sathianathan dan Marzuki melanggar peraturan, '' jelas Azzuddin pada sidang media perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil, semalam.

Azzuddin turut menjelaskan kekeliruan yang timbul mengenai tiada hebahan media mengenai hukuman terhadap Sathia.

''Berdasarkan polisi terbaru sekretariat FAM, segala keputusan yang dicapai oleh mana-mana jawatankuasa, harus dimaklumkan secara rasmi kepada semua ahlinya, sebelum dihebahkan kepada media.

''Ia antara sebab FAM tidak menghebahkan kepada media terlebih awal, bukan mahu menyorok sesuatu, '' katanya.