***

26 Oktober 2010

Hukuman Sathia ditangguh

KUALA LUMPUR 25 Okt. 2010- Kontroversi penggantungan jurulatih Kelantan, B. Sathianathan, reda seketika apabila Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 'berlembut hati' menangguhkan hukuman enam bulan yang dikenakan terhadap beliau, semalam.

Keputusan itu bermakna Sathianathan, yang sebelum ini terpaksa memberi arahan dari tempat duduk penonton melalui walkie-talkie pada perlawanan separuh akhir berdepan Kedah, boleh berada di bangku simpanan pemain pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh FAM semalam, penangguhan hukuman itu berdasarkan perkara 7.1.1 dan 7.5.1 dan diputuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Rayuan FAM, A.Ganarajah, selepas Sathianathan mengemukakan rayuan semalam.

Sabtu lalu, Lembaga Disiplin FAM membuat keputusan mengejut, apabila menggantung Sathianathan dan jurulatih T-Team, Che Ku Marzuki selama enam bulan dan denda sebanyak RM2,000, berkuatkuasa serta-merta.

Sathianathan dikenakan hukuman berkenaan selepas didapati bersalah memberi kenyataan kepada media, berhubung stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu ketika Liga Super, musim lepas.

Sebelum itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menjelaskan, penggantungan Sathianathan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Sambil menjelaskan situasi sebenar, Azzuddin berkata Lembaga Disiplin FAM sudah meneliti kes tersebut sejak Julai lepas.

''Hukuman yang dikenakan terhadap Sathianathan dan Che Ku Marzuki, dijatuhkan pada 21 Oktober selepas Jawatankuasa Lembaga Disiplin yang dipengerusikan Datuk Taufik Tan Sri Razak bersidang kali pertama.

''Sebenarnya kes ini sudah lama dalam perhatian Lembaga Disiplin, namun ekoran pemilihan Kongres FAM pada 31 Julai lalu dan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif kali pertama berlangsung pada 24 Ogos, maka tiada sebarang keputusan diputuskan, kerana Lembaga Disiplin yang baru masih belum terbentuk.

''Pelantikan dan pengesahan pengerusi serta ahli dalam setiap jawatankuasa hanya selesai pada 4 Oktober baru-baru ini, maka selepas itu, barulah Lembaga Disiplin dapat bersidang dan mendapati Sathianathan dan Marzuki melanggar peraturan, '' jelas Azzuddin pada sidang media perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil, semalam.

Azzuddin turut menjelaskan kekeliruan yang timbul mengenai tiada hebahan media mengenai hukuman terhadap Sathia.

''Berdasarkan polisi terbaru sekretariat FAM, segala keputusan yang dicapai oleh mana-mana jawatankuasa, harus dimaklumkan secara rasmi kepada semua ahlinya, sebelum dihebahkan kepada media.

''Ia antara sebab FAM tidak menghebahkan kepada media terlebih awal, bukan mahu menyorok sesuatu, '' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan