KUALA LUMPUR - Sesuai dengan prestijnya sebagai pentas akhir, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan menaikkan harga tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Kelantan dan Negeri Sembilan Sabtu ini, kepada RM30.
Harga tersebut adalah bagi tempat duduk biasa, manakala RM50 ditetapkan bagi tempat duduk grand stand.
Harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu adalah RM20.
Naib Presiden FAM, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pertandingan Tempatan, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, keputusan menaikkan harga RM10 bagi tiket perlawanan akhir itu telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pintu dan Tiket.
''Sesuai dengan prestij Piala Malaysia yang merupakan piala keagungan negara, maka Jawatankuasa Pintu dan Tiket berpendapat amat wajar harga tiket perlawanan akhir dijual pada harga RM30.
''Bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, harga tiket yang ditawarkan serendah RM5 sementara tempat duduk grand stand adalah RM50, '' katanya dalam sidang media perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 di Stadium Bukit Jalil, semalam.
Hadir sama pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim dan penolong pengurus Negeri Sembilan, Faizal Zainal.
Bagi meningkatkan langkah keselamatan, Hamidin menegaskan, pada perlawanan Sabtu ini, setiap penonton, termasuk wanita akan menjalani pemeriksaan badan, sebagai langkah membendung percubaan membawa masuk mercun dan objek terlarang ke dalam stadium.
''Pasukan keselamatan akan melakukan kawalan rapi di luar dan dalam stadium. Kali ini juga anggota keselamatan akan memeriksa badan penonton wanita, kerana ada maklumat mercun pernah dibawa masuk ke stadium melalui penonton wanita .
''Atas faktor keselamatan, makanan dan minuman juga akan tidak lagi dibenarkan dijual di dalam stadium, '' katanya.
Menyentuh pembahagian jualan tiket, sebanyak 30,000 tiket akan diberikan kepada Kelantan dan Negeri Sembilan, yang boleh didapati dalam tempoh terdekat.
''Tiket-tiket akan dijual tidak lama lagi sehingga Jumaat, yang akan diagihkan oleh persatuan bola sepak negeri masing-masing.
''Jika terdapat lebihan sehingga hari Jumaat ini, Jawatankuasa Pengelola akan menjual tiket itu di Stadium Nasional Bukit Jalil seawal 9 pagi Sabtu ini. Saya anggarkan sebanyak 70,000 ke 80,000 tiket akan dijual.
''Para penonton boleh masuk ke stadium mulai pukul 4 petang. Penyokong Kelantan akan duduk di bahagian tuan rumah sementara Negeri Sembilan di bahagian penyokong pelawat, '' katanya.
Hamidin turut berasa puas hati dengan kualiti padang perlawanan akhir itu yang disifatkannya 92 peratus boleh digunakan.
16 Oktober 2010
05 Oktober 2010
Pemain Import 2012
Mesyuarat FAM terima usul kemasukan mereka pada musim 2012
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) secara dasarnya memberi lampu hijau untuk ‘awang import’ kembali beraksi dalam liga bola sepak tempatan bermula musim 2012.
Mesyuarat jawatankuasa eksekutif yang dipengerusikan Sultan Ahmad Shah semalam menerima usul jawatankuasa pertandingan tempatan untuk menerima kemasukan pemain import pada dua musim akan datang, hasil sesi percambahan minda bersama semua pihak berkepentingan, minggu lalu. “Pemain import tidak menjadi keutamaan dengan kami mahu pasukan terlebih dulu menyelesaikan masalah berhubung gaji dan simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja),” kata Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa pada sidang akhbar selepas mesyuarat exco. “Kami (FAM) tidak mahu masalah kembali tercetus berkaitan pengambilan pemain import seperti pembayaran gaji dan masalah sosial.
“Exco membuat keputusan untuk menerima kehadiran semula pemain import pada 2012 tetapi ia akan diputuskan semula pada 2011.”
FAM turut menerima kemasukan Harimau Muda A (skuad bawah 21 kebangsaan) dalam Liga Super, menjadikannya jumlah pasukan yang layak beraksi dalam divisyen utama negara kepada 15.
Namun badan induk itu mahukan angka genap sama ada 14 atau 16 dengan FAM kini menunggu perkhabaran sama ada Johor FC dan Johor Pasir Gudang akan meneruskan dengan rancangan mereka untuk bergabung.
Seandainya menjadi, jumlah pasukan akan kekal 14 tetapi sekiranya ia tidak menjadi kenyataan, satu pusingan playoff akan dijalankan antara pasukan Liga Super dan Liga Perdana untuk menentukan identiti pasukan terakhir.
“Sekarang ini jumlah 16 pasukan adalah terlalu tinggi. Setiap pasukan akan beraksi dalam jumlah lebih 30 perlawanan dalam satu musim,” katanya. sumber
Langgan:
Catatan (Atom)